Ibu bapa mana yang tidak suka dan tidak rasa bahagia jika anak sedia
berkhidmat dan berbakti. Lebih-lebih lagi bila ibu bapa sudah lanjut
usia dan perlu lebih perhatian dan jagaan. Berbakti kepada ibu bapa
perlu pada sifat ringan tulang. Dengan ringan tulang kepada mereka,
kita dapat jaga hati mereka dan dalam masa yang sama, beroleh
keberkatan dalam hidup. “Sesiapa berbakti kepada ibu bapanya maka
kebahagiaanlah habuannya dan Allah akan memanjangkan (pula)
umurnya.” (Hadis riwayat Abu Ya’la, at-Thabrani,
as-Syaibani dan al-Hakim)
Raut wajah anak akan beri kesan kepada hati orang tua. Oleh itu cara
mudah untuk gembirakan hati mereka ialah selalu senyum, bermanis
muka dan pandang mereka dengan penuh kasih sayang. Memandang
ibu bapa (dengan kasih sayang), menurut Nabi s.a.w.,
adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud)
Hati ibu bapa terhibur jika anak tahu hormati mereka dan hormati
pandangan mereka. Kalaupun ada perkara yang anak tidak setuju, dia
masih tunjuk rasa hormat, tidak membangkang. Nabi s.a.w. banyak
memberi panduan cara-cara hormat pada ibu bapa. Antaranya, baginda
melarang seorang anak berjalan mendahului ibu bapanya atau duduk
sebelum ibu bapanya duduk. Baginda juga tekankan perlunya anak
membiasakan budaya minta izin pada ibu bapa, seperti minta izin
untuk masuk bilik mereka.
Rasulullah s.a.w. sewaktu dikunjungi ibu susuannya Halimah as-Saadiah,
telah membentangkan kain ridaknya untuk diduduki oleh si ibu. Betapa
bahagianya si ibu tua diperlakukan begitu. Layanan ‘VIP’ ini tentulah
lebih layak diberi pada ibu bapa kandung, lebih-lebih lagi yang sudah
lanjut usia. Kalau dia rasa kurang diraikan atau kurang diberi perhatian,
dia mudah tersinggung. Ini biasa berlaku bila ibu bapa tengok anaknya
melebihkan isteri atau suaminya berbanding ibu bapa sendiri. Apalagi
kalau ibu bapa tinggal serumah dengan anak dan menantu.
Meraikan ibu bapa juga merangkumi meraikan kenalan atau tetamu
mereka. (Malah dalam Islam, selepas ibu bapa tiada pun, seorang anak
masih dituntut meraikan kenalan baik arwah ibu bapanya.)Jauh di sudut
hati, ibu bapa akan rasa bangga jika selalu diminta pandangan dan
nasihat. Atau diminta restu dan doa dalam apa-apa keputusan
terutama melibatkan soal kahwin, kerjaya, sambung belajar dan lain-lain
persoalan besar dalam hidup anak. Tetapi jika anak minta restu, misalnya
untuk kahwin, dengan cara mendesak, ini boleh sakiti hati mereka.
Kebanyakan ibu bapa ada simpan hasrat terhadap anak – mahu anak
berjaya dalam hidup, jadi anak soleh, tahu kenang jasa. Memenuhi hasrat
mereka adalah salah satu cara untuk gembirakan mereka. Jika anak tak
ambil peduli hasrat dan harapan ibu bapa, hati mereka akan kecewa dan
terguris.Untuk membalas sepenuhnya jasa ibu bapa memang tak mungkin,
tapi jika anak tahu kenang jasa, ibu bapa akan rasa bahagia. Misalnya jika
sudah bekerja, disumbangkan sekian banyak daripada duit gaji kepada ibu
bapa. Bila sudah berkeluarga sendiri, sumbangan ini tak pernah putus
walaupun mungkin berkurang sedikit. Bila ada duit lebih pula, tak lupa dikirim
pada ibu bapa. Ibu bapa sakit, cepat-cepat dia balik jenguk dan usahakan
rawatan yang patut. Kalau perlu, dijaganya di hospital atau diminta isterinya
tolong jagakan. Dibawanya ibu bapa pergi haji atau umrah jika mampu.Jika
sudah tidak tinggal bersama ibu bapa, seorang anak perlu selalu berhubung
dan jenguk mereka. Tak cukup hanya kirim duit tiap-tiap bulan atau kirim kad
raya ‘pengganti diri’, terutama jika mereka sudah lanjut usia, selalu sakit-sakit
atau nyanyuk. Adakalanya bagi si ibu tua, cukuplah kalau dapat rasai belaian
tangan anak yang pernah dikandungnya. Atau kalau anak mahu duduk dengar
luahan hati, omelan atau ceritanya. Banyak kes hati ibu bapa yang retak
sebab tidak begitu diindahkan anak, sakit peningnya tak diambil peduli atau
anak sudah jemu dengar omelannya.Anak boleh panjangkan jariah untuk ibu
bapa; misalnya bersedekah dengan niatkan pahalanya untuk mereka. Ini
tidak semestinya dibuat sewaktu ibu bapa sudah meninggal. Ketika mereka
masih ada, mereka tentunya akan terhibur jika tahu yang si anak telah
buatkan jariah untuk mereka.Ibu bapa juga mengharap ada anak yang
sudi doakan mereka. Kalau memang ada, mereka tentu rasa bahagia dan
bangga. Tapi kalau mereka rasa si anak tak pernah doakan mereka,
mereka akan pendam rasa. Cukuplah kalau seorang anak itu merasakan dia
banyak ‘berhutang’ dengan ibu bapanya untuk membuatkan dia rasa sangat
terhutang budi dan rasa patut membalas jasa serta menjaga hati mereka
dengan apa jua cara yang dikira wajar. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Anak itu
belum dapat lagi membalas (jasa) orang tuanya sehinggalah dia mendapatinya
sebagai hamba, lalu dibelinya dan dimerdekakannya.”
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)
No comments:
Post a Comment